Tuesday, October 25, 2022

𝐁𝐞𝐫𝐚𝐩𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐀𝐝𝐚 𝐁𝐢𝐥𝐚 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐚𝐫𝐚 ?

 

Perancangan Persaraan: Berapa Banyak Perlu Simpan?

                                                                                                                                                  




Selepas bekerja dalam tempoh yang lama seperti 30 sehingga 40 tahun, anda mesti mahu bersara dengan  tenang dan tidak perlu memikirkan masalah duit lagi. Perancangan persaraan merupakan satu perkara yang harus dititik berat walaupun anda mungkin merasakan masih lama lagi untuk anda bersara.  

𝐁𝐞𝐫𝐚𝐩𝐚 𝐉𝐮𝐦𝐥𝐚𝐡 𝐖𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐀𝐧𝐝𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐚𝐫𝐚?

Jika anda merupakan pekerja sektor swasta, akan tiba satu masa nanti yang anda hanya akan bergantung kepada wang simpanan atau wang kwsp anda sahaja. Berbeza dengan pekerja sektor kerajaan yang kebiasaannya akan mendapat duit pencen setiap bulan selepas persaraan, anda sebagai pesara sektor swasta akan menerima wang dalam jumlah yang banyak sekaligus melalui akaun KWSP anda. 

Salah satu cabaran yang paling besar apabila anda menerima wang dalam jumlah yang banyak sebegini adalah memastikan anda boleh menggunakannya sebaik mungkin dan berjimat dengan jumlah tersebut dalam tempoh yang panjang sekitar 15 sehingga 20 tahun. Wang yang anda terima inilah yang akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan bulanan anda selepas bersara. 

Oleh sebab itu, anda perlu mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana situasi kewangan anda memainkan peranan yang sangat penting apabila anda bersara nanti. Perancangan persaraan yang baik dan strategik akan dapat membantu anda lebih bersedia menghadapi segala cabaran yang bakal muncul. 

Setiap individu mempunyai gaya hidup yang berbeza-beza dan anda mungkin akan berbelanja lebih daripada RM1,000 sebulan terutama sekali jika anda mempunyai tanggungan seperti ahli keluarga. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan saranan jumlah wang perbelanjaan yang anda perlu sediakan pada setiap bulan bergantung kepada tiga kategori:

KategoriJumlah Perbelanjaan Bulanan yang Disarankan oleh Bank Negara
Dewasa BujangRM2,700
Pasangan tanpa AnakRM4,500
Pasangan dengan Dua Orang AnakRM6,500


Berdasarkan jumlah perbelanjaan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk mengharungi hari-hari persaraan dengan wang simpanan RM240,000 seperti yang telah disarankan oleh pihak KWSP. Untuk hidup dalam masa 15 hingga 20 tahun akan datang dengan selesa, anda akan memerlukan simpanan yang lebih banyak.

Contohnya, individu yang berstatus bujang memerlukan RM2,700 sebulan berdasarkan saranan Bank Negara. Ini bermakna, individu tersebut memerlukan simpanan sekitar RM500,000 sehingga RM600,000 untuk menjalani kehidupan dengan selesa setelah bersara kelak.

Faktor-faktor yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Bersara 

Berikut merupakan komitmen kewangan lain yang anda mungkin perlu tanggung selepas anda bersara:

  • Tanggungan kewangan untuk pasangan, anak atau tanggungan-tanggungan lain
  • Yuran Pengajian Anak-anak
  • Pinjaman perumahan atau komitmen hutang lain yang belum diselesaikan
  • Membeli polisi takaful baharu jika anda sebelum ini bergantung pada perlindungan yang disediakan oleh syarikat atau anda sudah mencapai had umur polisi sedia ada
  • Kadar inflasi kerana harga barang berkemungkinan besar tidak akan kekal sama dan akan naik pada masa depan
  • Gaya hidup anda seperti kekerapan anda mahu keluar bercuti, makan di luar dan sebagainya 


5 Tips Simpanan Persaraan

Tidak kiralah sama ada anda masih ada sekitar10, 20 ataupun 30 tahun lagi, anda perlu memikirkan kehidupan selepas persaraan daripada sekarang. Apabila anda sudah ketahui jumlah wang yang anda perlukan untuk bersara dan tempoh yang anda ada sebelum bersara, anda perlu mencari jalan terbaik untuk mencapai sasaran anda. Ikuti lima tips simpanan persaraan di bawah ini:

1. Mengira Kos Perbelanjaan Bulanan

Penting untuk anda menentukan bajet perbelanjaan setiap bulan dengan wang yang anda akan terima dalam jumlah yang banyak daripada KWSP. Anda perlu merancang belanjawan anda atau kenal pasti cara uruskan gaji anda untuk supaya anda boleh meningkatkan jumlah simpanan sedia ada. 

Asingkan perbelanjaan anda kepada perkara yang anda perlukan dan perkara yang anda inginkan. Utamakan perbelanjaan untuk perkara yang anda rasa lebih mustahak dan kurangkan perbelanjaan yang anda tidak perlukan.

Selepas bersara, anda tidak lagi mendapat sumber pendapatan setiap bulan, melainkan anda memilih untuk bekerja secara part time. Misi anda adalah memastikan yang anda boleh bertahan dengan jumlah simpanan anda selepas persaraan nanti.

2. Membuat Pelaburan 

Pelaburan boleh bantu meningkatkan jumlah simpanan persaraan anda dan ini merupakan satu pilihan yang anda boleh pertimbangkan. Jenis pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan risikorendah dan pelaburan risiko tinggi. Mana satu yang patut anda pilih? 

Pilihan ini wajar dibuat bergantung kepada situasi dan umur anda. Sekiranya anda sudah menghampiri umur persaraan, anda disarankan untuk melabur di platform pelaburan yang mempunyai risiko lebih rendah seperti , pelaburan ASB, Tabung Haji, Takaful dan sebagainya. 

Jika anda masih muda dan baru bekerja dan ingin merancang persaraan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk membuat pelaburan yang lebih berisiko tinggi seperti saham. Namun begitu, pastikan anda melakukan penyelidikan komprehensif sebelum membuat pelaburan. Selain itu, anda juga boleh melabur di platform risiko rendah jika anda tidak mahu mengambil risiko yang tinggi.

3. Jangan Keluarkan Duit Simpanan KWSP Jika Tidak Perlu

Meskipun kerajaan baru-baru ini membenarkan pengeluaran sebahagian daripada akaun 2 KWSP secara one-off sebanyak RM10,000, ini tidak bermaksud anda perlu mengeluarkannya. Anda tidak digalakkan untuk mengeluarkannya melainkan anda memang terdesak memerlukan wang tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu terutamanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Elakkan mengeluarkan duit ini untuk pelaburan atau sebagai modal perniagaan.

Ingat, tujuan simpanan KWSP anda adalah untuk persaraan anda. Ini bermaksud, mengeluarkan simpanan KWSP anda sekarang bermakna wang persaraan anda akan berkurangan. Duit KWSP RM10,000 bukanlah jumlah yang sedikit. Bayangkan dengan kadar dividen KWSP sebanyak enam peratus setahun, RM10,000 boleh bertambah menjadi RM17,908 selepas 10 tahun, menjadi RM32,071 selepas 20 tahun dan menjadi RM57,434 selepas 30 tahun.

4. Berhati-hati dengan Scammer 

Banyak kes scam yang terjadi di Malaysia biasanya berlaku pada golongan yang menghampiri umur persaraan ataupun yang sudah bersara. Scammer yang mempunyai kebolehan yang tinggi boleh ‘bau’ duit yang banyak yang masuk atau bakal masuk ke dalam akaun anda. Jika anda selalu baca berita, anda akan dapati ramai pesara yang kehilangan semua wang simpanan persaraan mereka disebabkan terpedaya dengan tipu helah scammer

Biasanya, pihak scammer akan menjanjikan pulangan wang yang tinggi dalam masa yang singkat. Bagi anda yang mungkin ingin menggandakan simpanan untuk persaraan, ia mungkin boleh menarik minat anda untuk terjebak dengan skim sebegini. Oleh sebab itu, jika anda ditawarkan untuk masukkan wang anda ke dalam skim yang mencurigakan dan menjanjikan pulangan yang tinggi yang tidak masuk akal, jangan terburu-buru membuat keputusan dan dapatkan nasihat pakar kewangan anda. 

5. Selesaikan Semua Pinjaman Sedia Ada Secepat Mungkin

Sebolehnya, rancang hutang dan komitmen anda bermula sekarang. Elakkan daripada berbelanja atau berhutang melebihi kemampuan anda. Jika perlu, simpan duit terlebih dahulu sebelum beli barangan yang anda perlukan untuk mengelakkan komitmen terkumpul yang tinggi sehingga mencapai umur persaraan.

Jika boleh, apabila anda bersara nanti hanya tinggal sekurang-kurangnya satu loan sahaja untuk anda selesaikan. Dengan cara ini, anda dapat menikmati persaraan anda dengan lebih baik dan anda tidak perlu pening kepala untuk memikirkan komitmen dan hutang lain yang perlu ditanggung.



𝐂𝐚𝐫𝐚 𝐒𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐃𝐮𝐢𝐭 𝐆𝐞𝐫𝐞𝐧𝐭𝐢 𝐌𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 !

 

8 Cara Simpan Duit Gaji 

( Gerenti Menjadi!)


Ramai individu terutamanya anak muda zaman sekarang sukar menyimpan duit gaji setiap hujung bulan. Hal ini kerana masih ramai yang tidak tahu cara simpan duit gaji dengan bijak dan ini secara tidak langsung boleh memberikan kesan yang buruk dalam jangka masa pendek dan panjang. Artikel ini akan berkongsikan lapan cara simpan duit gaji dengan bijak yang akan membantu anda untuk capai kebebasan kewangan.

8 Cara Simpan Duit Gaji untuk Anak Muda

Penting untuk anda tahu cara uruskan atau manage duit gaji dengan cara yang betul. Tidak kiralah gaji anda RM1,000, RM1,200 atau sebagainya – kalau anda pandai dan tahu cara menyimpan duit gaji tidak kira gaji kecil atau pun besar, anda boleh mengelakkan diri daripada menghadapi masalah kewangan. Berikut cara simpan duit gaji yang anda boleh cuba: 

1. Formula Urus dan Simpan Duit Gaji

Bagaimana cara untuk asingkan duit bila dapat gaji? Anda boleh ikut cara urus gaji menggunakan formula 10-10-10-70 seperti berikut.

  • 10% – Simpanan
  • 10% – Takaful
  • 10% – Kecemasan
  • 70% – Belanja/Komitmen Bulanan

10 peratus simpanan merupakan jumlah yang disyorkan. Kalau anda mahu simpan lebih dari 10 peratus, lebih bagus. Dalam 70 peratus untuk belanja itu bukan bermakna untuk anda shopping sakan sehingga tidak ingat dunia. Sebaliknya, anda boleh pecahkan kepada beberapa bahagian seperti komitmen hutang kereta, sewa rumah atau sewa bilik, elaun ibu ayah, duit untuk perbelanjaan utiliti, makan dan sebagainya. 

Untuk memastikan anda ikut formula ni, cuba buat jadual perbelanjaan pada setiap bulan. Ini untuk memastikan anda boleh track balik perbelanjaan anda. 

2. Simpan Duit di Platform Seperti ASB atau Tabung Haji

Cara simpan duit gaji yang seterusnya adalah simpanlah duit di tempat yang betul dan selamat. Anda boleh cuba membuat simpanan Tabung Haji atau simpanan ASB. Dengan cara ini, anda bukan sahaja boleh simpan duit malah ini merupakan cara kembangkan duit dengan mendapat pulangan dividen dan bonus tahunan. Cuba disiplinkan diri untuk tidak menggunakan wang simpanan kecuali apabila anda benar-benar menghadapi kecemasan. 



3. Cara Simpan Duit Gaji, Hadkan Penggunaan Kad Kredit

Kad kredit ini banyak manfaatnya tetapi ia boleh menjadi bahaya jika disalahgunakan lebih-lebih lagi untuk sesetengah orang yang mempunyai nafsu berbelanja yang tinggi dan suka melebihkan kehendak daripada keperluan. 

Mana tidaknya, ada sesetengah individu yang wave dan swipe sahaja tanpa memikirkan status kewangan semasa. Akibatnya, hutang pun semakin meningkat dan gagal membayar balik hutang mengikut jadual. Pastikan anda hadkan penggunaan kad kredit dan gunakan kad kredit untuk perbelanjaan tertentu sahaja seperti mengisi petrol. Dengan cara ini, anda boleh menikmati manfaat-manfaat yang ditawarkan oleh syarikat penyedia kad kredit.  

4. Semak Kos Perbelanjaan Isi Rumah

Cara simpan duit gaji yang seterusnya adalah buat penilaian balik kos perbelanjaan isi rumah anda. Ini kerana, kos perbelanjaan isi rumah adalah salah satu sebab utama kenapa ramai tidak mampu untuk mempunyai simpanan walaupun sedikit. Perbelanjaan isi rumah termasuklah kadar sewa rumah, bil elektrik dan air, makanan, perubatan dan banyak lagi perkara yang berkaitan. 

Anda disyorkan untuk mengawal perbelanjaan isi rumah supaya tidak menggunakan lebih daripada 25 peratus gaji anda. Jika anda menetap di luar kawasan Kuala Lumpur, ia mungkin tidak menjadi masalah kepada anda. Namun bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar terutamanya Kuala Lumpur, kewangan anda mungkin akan terjejas jika tabiat perbelanjaan tidak diuruskan dengan betul. Apa yang anda boleh buat adalah ubah gaya hidup dengan berbelanja secara sederhana dan berpada-pada. 

5. Rancang Perbelanjaan untuk Simpan Duit

Merancang perbelanjaan dengan teliti adalah antara cara simpan duit gaji yang amat membantu. Jika sebelum ini anda selalu berbelanja ikut kemahuan dan nafsu semata-mata, anda mungkin mendapati wang anda habis dengan begitu cepat berbanding biasa. Sebagai contoh, setiap kali anda mahu ke pasaraya untuk membeli barangan dapur, pastikan tulis dan senaraikan barang-barang yang perlu dibeli. Senarai ini akan memastikan anda untuk kekal berdisiplin semasa berbelanja. 

Dengan merancang perbelanjaan, anda boleh mengelakkan diri daripada berbelanja lebih. Strategi ini juga boleh diguna pakai untuk perbelanjaan yang lain juga dan tidak terhad pada perbelanjaan barangan dapur sahaja. Anda boleh menggunakan strategi ini untuk perbelanjaan lain seperti kos minyak kereta, servis motor, tol dan sebagainya. Apabila anda sudah mula rancang dan track perbelanjaan, anda akan perasan perbezaan yang ketara dan anda sebenarnya mampu untuk menyimpan duit pada setiap bulan. 

6. Perhatikan Perbelanjaan Kecil

Mungkin bagi sesetengah orang duit perbelanjaan kecil seperti duit untuk beli kopi ini tidak memberi kesan yang begitu besar. Anda mungkin beranggapan perbelanjaan RM15 untuk secawan Starbucks setiap pagi tidak memberi kesan yang signifikan. Namun sebenarnya, secara tidak sedar tabiat ini sebenarnya yang memakan duit anda dengan jumlah yang banyak. 

Nampak macam remeh tetapi percayalah apabila anda buat kira-kira, anda akan nampak betapa banyak duit yang anda habiskan untuk makanan atau minuman yang mahal. Oleh sebab itu, anda perlu ubah dan hadkan perbelanjaan yang tidak perlu. Anda akan terkejut dengan jumlah yang anda boleh jimat dengan mengurangkan perbelanjaan bersifat kemahuan. 

7. Kurangkan Makan di Luar dan Simpan Duit

Memang tidak salah makan di restoran untuk sekali-sekala. Namun begitu, jika boleh kurangkan makan di luar dan lebihkan memasak sendiri di rumah. Secara asasnya, kos makan di luar lebih besar daripada memasak sendiri di rumah. 

Kos untuk seorang makan adalah dalam lingkungan harga RM7 hingga RM10 untuk setiap hidangan. Bayangkan jika anda mempunyai isteri dan dua orang anak, kos ini boleh menjadi empat kali ganda lebih mahal. Cuba anda buat pengiraan sendiri. Oleh sebab itu, anda perlu pastikan anda kawal dan hadkan perbelanjaan makan di luar dan cuba masak makanan sendiri di rumah. Bandingkan dengan kos memasak sendiri di rumah, dengan kos bahan mentah RM100, anda mungkin boleh menyediakan hidangan lengkap untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari.

8. Cara Simpan Duit Gaji, Utamakan Keperluan

Utamakan keperluan berbanding kemahuan – ini kerana kemahuan boleh memudaratkan kedudukan kewangan anda dalam jangka masa yang panjang. Oleh sebab itu, penting untuk anda berbelanja mengikut keperluan dan bukan kehendak. Jika tidak dikawal dengan baik, anda mungkin akan berbelanja melebihi kemampuan anda. Namun begitu, bagaimana cara nak bezakan kemahuan dan keperluan?

Keperluan adalah perbelanjaan yang wajib ada agar dapat menjalankan kehidupan seharian dengan baik seperti duit sewa rumah, makanan dan sebagainya. Manakala kemahuan pula adalah perbelanjaan yang tidak penting tetapi boleh menjadikan kehidupkan anda lebih selesa seperti pergi ke spa, membeli beg dan baju baharu dan sebagainya. 

simpan duit gaji

4 Formula dan Tips Menabung Duit

Secara asasnya, banyak formula urus gaji dan tips menabung yang boleh anda amalkan. Meskipun begitu, cara ini bergantung sepenuhnya kepada setiap individu. Cara A mungkin tidak menjadi untuk individu B, dan cara C mungkin berjaya untuk individu D. Apa yang penting, pilih cara menyimpan yang sesuai mengikut keperluan anda.

1. Formula Urus Gaji 30 + 30 + 30 + 10

Formula ini merangkumi pembahagian duit gaji anda kepada empat bahagian iaitu 30 peratus, 30 peratus, 30 peratus dan 10 peratus. Sebagai contoh, sekiranya gaji bersih anda RM3,000, duit RM3,000 ini dibahagikan kepada RM900, RM900, RM900 dan RM300. Untuk 30 peratus pertama, ia diperuntukkan untuk kesenangan masa depan untuk tujuan simpanan pendidikan, perlindungan insurans/takaful dan juga pelaburan.

30 peratus yang kedua pula adalah untuk segala hutang-piutang dan simpanan perbelanjaan. Ini bermakna, jika anda ingin berhutang untuk membuat pembiayaan rumah atau kereta, pastikan jumlah hutang itu dihadkan kepada 30 peratus sahaja daripada gaji. 30 peratus yang ketiga merangkumi perbelanjaan lain-lain seperti makan dan minum, barangan dapur, keperluan peribadi, sewa, bil dan apa-apa sahaja perbelanjaan setiap bulan.

Sementara itu, 10 peratus lagi boleh gunakan untuk diberikan kepada ibu bapa, sedekah, hadiah ataupun menunaikan zakat sekiranya cukup nisab. Jika anda baru mula bekerja atau tidak mempunyai komitmen yang banyak, anda disarankan untuk mengguna pakai formula ini.

2. Formula Urus Gaji 20 + 50 + 30

Untuk formula dan tips simpan duit ini pula, 20 peratus pertama digunakan untuk tabung simpanan. Anda digalakkan untuk membuka akaun simpanan khas untuk menyimpan wang bagi kegunaan masa hadapan. Apabila gaji anda masuk, cepat-cepat asingkan 20 peratus daripada gaji terus ke akaun simpanan tersebut.

Jangan sentuh simpanan ini melainkan dalam situasi kecemasan dan anda akan dapat melihat hasil pulangan yang berganda-ganda sekiranya anda berdisiplin. Simpanan dalam akaun ASB merupakan alternatif pelaburan berisiko rendah yang boleh anda pertimbangkan. Simpan duit di ASB bukan sahaja dapat membantu anda capai matlamat kewangan seperti membeli rumah atau kereta, ia juga salah satu simpanan hari tua yang terbaik dan menguntungkan.

  • Gaji RM3000 x 0.2% = RM600 (masukkan terus dalam akaun simpanan).
  • RM600 sebulan x 12 bulan = RM7,200 setahun.

50 peratus pula diperuntukkan untuk bayaran hutang dan bil tetap seperti bil elektrik, air, internet, telefon, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, ia hanya melibatkan bayaran komitmen tetap bulanan seperti pinjaman peribadi, loan kereta/rumah, dan sebagainya tidak termasuk bil kad kredit yang digunakan untuk pembelanjaan makan dan minum di luar, hiburan, pakaian, dan lain-lain.

Selain itu, sekiranya anda hendak memohon pinjaman peribadi, pastikan bayaran bulanan hutang termasuk komitmen sedia ada tidak melebihi jumlah 50 peratus yang ditetapkan.

  • Gaji RM3,000 x 0.5% = RM1,500 (had maksimum untuk bayaran komitmen dan bil bulanan).

Akhirnya sekali, baki 30 peratus adalah untuk perbelanjaan sara hidup seperti barangan dapur, pengangkutan, hiburan dan sebagainya.

3. Formula Urus Gaji 90 + 10

Formula simpan duit gaji ini kebiasaannya digunakan oleh individu yang tidak mahu bahagikan duit gaji kepada banyak perkara. Contohnya, 90 peratus digunakan untuk semua perbelanjaan merangkumi perbelanjaan tetap atau perbelanjaan berubah-ubah termasuk belanja untuk keperluan dan kehendak.

Ini bermaksud, 90 peratus daripada gaji akan digunakan untuk membayar hutang, bil-bil, makan, minum, keperluan diri, hiburan, membeli barang idaman dan sebagainya. Baki 90 peratus dibahagikan kepada empat bahagian mewakili empat minggu – 30 peratus, 20 peratus, 20 peratus dan 20 peratus.

Untuk minggu pertama, gunakan 30 peratus duit untuk membayar komitmen tetap seperti hutang, sewaan dan bil. Manakala untuk minggu kedua dan seterusnya, gunakan bahagian 20 peratus selebihnya. Secara asasnya, cara ini tidak menjadi masalah asalkan anda berbelanja mengikut peruntukan yang telah ditetapkan. Baki 10 peratus pula digunakan khas untuk simpanan atau pelaburan.

tips menabung

Cara Menabung Walaupun dengan Gaji yang Rendah

Secara asasnya, gaji rendah bukan penghalang untuk menabung atau menyimpan. Berikut merupakan cara jimat duit dan cara-cara menabung dengan gaji yang rendah.

1. Kira Perbelanjaan dengan Tepat

Anda disarankan untuk merekod perbelanjaan berbanding pendapatan kerana ini boleh membantu anda untuk memantau status kewangan anda dengan lebih jelas. Malah, ia juga dapat membantu anda merancang dan merangka perbelanjaan untuk bulan seterusnya.

2. Beli Barang Secara Borong

Walaupun anda masih bujang, tidak bererti anda tidak boleh membeli barangan secara borong. Beli barangan secara borong kerana ia lebih menjimatkan. Sebagai contoh, barangan yang tidak cepat rosak dan selalu anda boleh gunakan seperti ubat gigi biasanya ditawarkan pada harga yang lebih rendah dan lebih jimat untuk paket bundle atau pek berkembar.

3. Bawa Bekal

Anda juga boleh membawa bekal ke tempat kerja. Secara asasnya, masak sendiri di rumah lebih menjimatkan berbanding makan di kedai. Selain dapat menjimatkan duit perbelanjaan, anda juga dapat mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

4. Disiplin dalam Berbelanja

Pastikan anda hanya membeli benda yang terdapat dalam senarai yang hendak dibeli. Elakkan pergi ke kedai terlalu kerap kerana anda akan cenderung membeli barangan yang tidak perlu seperti snek dan minuman ringan.