Monday, October 24, 2022

𝐈𝐧𝐟𝐨 𝐋𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐩 𝐂𝐚𝐫𝐚 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐒𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧𝐚𝐧

 

Simpanan Tetap: Info Lengkap untuk Pelaburan Yang Bijak                                                

Selain pelaburan saham, ekuiti, komoditi, unit trust dan sebagainya, terdapat satu jenis pelaburan yang sangat popular dalam kalangan pelabur iaitu simpanan tetap. Simpanan tetap atau fixed deposit sesuai untuk anda yang ingin melabur untuk jangka masa tertentu dengan selamat kerana ia kurang berisiko dan mempunyai tempoh matang tertentu untuk mendapatkan keuntungan.

6 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Akaun Simpanan Tetap

Apa itu fixed deposit? Adakah pelaburan fixed deposit ini berbaloi dan selamat? 

1. Apa Itu Fixed Deposit atau Simpanan Tetap?

Apa maksud simpanan tetap? Secara asasnya, fixed deposit ialah satu jenis pelaburan yang disimpan tanpa dikeluarkan untuk tempoh tertentu. Tempoh matang simpanan biasanya berbeza mengikut polisi bank masing-masing. Malah, kadar faedah yang ditawarkan juga biasanya berbeza mengikut tempoh matang.

Sebagai contoh, jika anda mempunyai lebihan gaji yang tidak digunakan, anda boleh melabur dalam fixed deposit dengan kadar faedah tiga peratus setahun jika anda tidak mengeluarkan wang tersebut sebelum tempoh matang. Kadar faedah fixed deposit juga dikatakan lebih tinggi berbanding akaun simpanan biasa yang hanya menawarkan hanya 0.3 hingga 0.5 peratus setahun.

2. Jenis Simpanan Tetap di Malaysia

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis simpanan tetap yang boleh anda pertimbangkan. Berikut enam jenis fixed deposit untuk panduan dan rujukan anda:

i. Simpanan Tetap Jangka Pendek

Sekiranya anda mempunyai lebihan wang yang ingin disimpan tetapi merancang untuk menggunakannya dalam masa terdekat, anda boleh memilih untuk menyimpan dalam fixed deposit sebegini. Kadar faedah atau pulangan yang akan diperoleh tidaklah begitu banyak, namun ia semestinya lebih berbaloi berbanding simpanan biasa.

ii. Simpanan Tetap Jangka Panjang

Jika anda tidak merancang untuk menggunakan simpanan anda dalam masa terdekat, anda boleh mempertimbangkan jenis simpanan ini. Semakin lama anda simpan duit anda dalam simpanan jenis ini, semakin tinggi kadar faedah yang bakal diterima. Biasanya, sesetengah bank menawarkan tempoh simpanan jangka panjang sehingga lima tahun kepada penyimpan.

iii. Simpanan Tetap Islamik (Patuh Syariah)

Akaun fixed deposit berasaskan prinsip patuh Syariah ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia. Penyimpan atau pelabur dianggap sebagai pendeposit dan bank dianggap sebagai mudharib atau pihak yang berkongsi keuntungan. Dalam erti kata lain, penyimpan menyerahkan wang simpanan kepada pihak bank untuk tujuan perniagaan dan keuntungan dikongsi bersama antara penyimpan dan pihak pengurusan. Dengan cara ini, penyimpan akan mendapat pulangan tanpa melibatkan sebarang konsep faedah.

iv. Simpanan Tetap Mata Wang Asing

Akaun simpanan ini membolehkan anda menyimpan menggunakan mata wang asing. Akaun fixed deposit sebegini sangat berguna sekiranya anda ingin melindungi simpanan anda daripada ketidaktentuan inflasi atau sebagainya.

v. Simpanan Tetap Junior

Akaun simpanan ini pula ditawarkan khusus untuk kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah. Kebanyakan bank di Malaysia menawarkan fixed deposit junior yang digabungkan bersama perlindungan insurans dan manfaat lain seperti tabung pendidikan dan lain-lain untuk kegunaan kanak-kanak tersebut pada masa hadapan.

vi. Simpanan Tetap Senior/Warga Emas

Sekiranya anda seorang pesara yang ingin melindungi simpanan persaraan anda, jenis simpanan ini merupakan salah satu pilihan yang boleh anda pertimbangkan. Bergantung pada bank, simpanan ini dibuka khas untuk warga emas yang berumur antara 50 hingga 55 tahun. Selain itu, ada sesetengah bank menawarkan akaun fixed deposit fleksibel untuk warga emas yang menawarkan kadar faedah yang tinggi dan membenarkan pengeluaran awal pada bila-bila masa tanpa kehilangan sebarang faedah deposit tetap pada baki akaun.

3. Jumlah Wang Deposit yang Diperlukan

Secara asasnya, setiap bank menetapkan kadar deposit minimum yang berbeza mengikut tempoh pelaburan simpanan yang dipersetujui. Berikut jumlah wang deposit yang diperlukan di beberapa bank popular di Malaysia untuk rujukan anda:

BankDeposit Minimum
MaybankRM1,000
CIMBRM1,000
Bank IslamRM500
RHB BankRM500
BSNRM10,000
AmbankRM5,000

akaun simpanan tetap | fixed deposit di Malaysia

4. Kadar Faedah Simpanan Tetap Bank di Malaysia

Cara kira kadar faedah simpanan tetap adalah berbeza mengikut bank, dan ia biasanya bergantung pada jenis akaun simpanan yang dipilih. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memilih jenis simpanan yang sesuai mengikut keperluan dan kemampuan anda kerana kadar faedah minimum akan dikira berdasarkan tempoh simpanan anda sama ada dari enam bulan dan setahun. Berikut peratus kadar faedah di beberapa bank popular di Malaysia untuk panduan anda:

BankPeratus Kadar Faedah untuk Enam Bulan (%)
MaybankBermula 2.55
CIMB2.55
Bank Islam2.65
RHB Bank2.55
BSN2.60
AmbankBermula 2.30

5. Tempoh Matang Simpanan Tetap

Fixed deposit tidak membenarkan pelabur atau penyimpan untuk melakukan pengeluaran awal sebelum tarikh matang. Jika pengeluaran awal dilakukan, ia berpotensi mengurangkan kadar faedah seperti yang ditetapkan dalam terma dan syarat. Meskipun begitu, ada sesetengah bank yang menawarkan pengeluaran awal tanpa menjejaskan kadar faedah sedia ada. Biasanya, tempoh matang simpanan tetap adalah antara satu, tiga, dan enam bulan atau satu tahun (atau lebih) dengan kadar faedah yang berbeza-beza mengikut tempoh simpanan. Selain itu, kadar faedah juga ditawarkan lebih tinggi jika amaun pelaburan atau simpanan yang dimasukkan tinggi.

6. Cara Buat Fixed Deposit

Kebanyakan bank tempatan di Malaysia seperti Bank Rakyat, Maybank, CIMB Bank, AmBank, Public Bank, Hong Leong Bank, Affin Bank dan banyak lagi menawarkan simpanan tetap kepada semua lapisan masyarakat. Bank-bank ini menawarkan kadar faedah, pakej dan tempoh matang pelaburan yang berbeza.

Jika anda berminat untuk melabur dalam fixed deposit ini, lakukan kajian atau kenal pasti jenis simpanan tetap yang sesuai dengan keperluan anda dan ambil kira tempoh matang simpanan tetap tersebut. Bagi anda yang berminat, berikut cara buat fixed deposit untuk rujukan anda:

  1. Hadir ke cawangan bank pilihan;
  2. Anda perlu mendaftar dan beri butiran maklumat yang diperlukan;
  3. Masukkan sejumlah deposit yang dipersetujui mengikut syarat bank;
  4. Lakukan pengesahan.


No comments:

Post a Comment