Tuesday, October 25, 2022

๐‚๐š๐ซ๐š ๐’๐ข๐ฆ๐ฉ๐š๐ง ๐ƒ๐ฎ๐ข๐ญ ๐†๐ž๐ซ๐ž๐ง๐ญ๐ข ๐Œ๐ž๐ง๐ฃ๐š๐๐ข !

 

8 Cara Simpan Duit Gaji 

( Gerenti Menjadi!)


Ramai individu terutamanya anak muda zaman sekarang sukar menyimpan duit gaji setiap hujung bulan. Hal ini kerana masih ramai yang tidak tahu cara simpan duit gaji dengan bijak dan ini secara tidak langsung boleh memberikan kesan yang buruk dalam jangka masa pendek dan panjang. Artikel ini akan berkongsikan lapan cara simpan duit gaji dengan bijak yang akan membantu anda untuk capai kebebasan kewangan.

8 Cara Simpan Duit Gaji untuk Anak Muda

Penting untuk anda tahu cara uruskan atau manage duit gaji dengan cara yang betul. Tidak kiralah gaji anda RM1,000, RM1,200 atau sebagainya – kalau anda pandai dan tahu cara menyimpan duit gaji tidak kira gaji kecil atau pun besar, anda boleh mengelakkan diri daripada menghadapi masalah kewangan. Berikut cara simpan duit gaji yang anda boleh cuba: 

1. Formula Urus dan Simpan Duit Gaji

Bagaimana cara untuk asingkan duit bila dapat gaji? Anda boleh ikut cara urus gaji menggunakan formula 10-10-10-70 seperti berikut.

  • 10% – Simpanan
  • 10% – Takaful
  • 10% – Kecemasan
  • 70% – Belanja/Komitmen Bulanan

10 peratus simpanan merupakan jumlah yang disyorkan. Kalau anda mahu simpan lebih dari 10 peratus, lebih bagus. Dalam 70 peratus untuk belanja itu bukan bermakna untuk anda shopping sakan sehingga tidak ingat dunia. Sebaliknya, anda boleh pecahkan kepada beberapa bahagian seperti komitmen hutang kereta, sewa rumah atau sewa bilik, elaun ibu ayah, duit untuk perbelanjaan utiliti, makan dan sebagainya. 

Untuk memastikan anda ikut formula ni, cuba buat jadual perbelanjaan pada setiap bulan. Ini untuk memastikan anda boleh track balik perbelanjaan anda. 

2. Simpan Duit di Platform Seperti ASB atau Tabung Haji

Cara simpan duit gaji yang seterusnya adalah simpanlah duit di tempat yang betul dan selamat. Anda boleh cuba membuat simpanan Tabung Haji atau simpanan ASB. Dengan cara ini, anda bukan sahaja boleh simpan duit malah ini merupakan cara kembangkan duit dengan mendapat pulangan dividen dan bonus tahunan. Cuba disiplinkan diri untuk tidak menggunakan wang simpanan kecuali apabila anda benar-benar menghadapi kecemasan. 



3. Cara Simpan Duit Gaji, Hadkan Penggunaan Kad Kredit

Kad kredit ini banyak manfaatnya tetapi ia boleh menjadi bahaya jika disalahgunakan lebih-lebih lagi untuk sesetengah orang yang mempunyai nafsu berbelanja yang tinggi dan suka melebihkan kehendak daripada keperluan. 

Mana tidaknya, ada sesetengah individu yang wave dan swipe sahaja tanpa memikirkan status kewangan semasa. Akibatnya, hutang pun semakin meningkat dan gagal membayar balik hutang mengikut jadual. Pastikan anda hadkan penggunaan kad kredit dan gunakan kad kredit untuk perbelanjaan tertentu sahaja seperti mengisi petrol. Dengan cara ini, anda boleh menikmati manfaat-manfaat yang ditawarkan oleh syarikat penyedia kad kredit.  

4. Semak Kos Perbelanjaan Isi Rumah

Cara simpan duit gaji yang seterusnya adalah buat penilaian balik kos perbelanjaan isi rumah anda. Ini kerana, kos perbelanjaan isi rumah adalah salah satu sebab utama kenapa ramai tidak mampu untuk mempunyai simpanan walaupun sedikit. Perbelanjaan isi rumah termasuklah kadar sewa rumah, bil elektrik dan air, makanan, perubatan dan banyak lagi perkara yang berkaitan. 

Anda disyorkan untuk mengawal perbelanjaan isi rumah supaya tidak menggunakan lebih daripada 25 peratus gaji anda. Jika anda menetap di luar kawasan Kuala Lumpur, ia mungkin tidak menjadi masalah kepada anda. Namun bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar terutamanya Kuala Lumpur, kewangan anda mungkin akan terjejas jika tabiat perbelanjaan tidak diuruskan dengan betul. Apa yang anda boleh buat adalah ubah gaya hidup dengan berbelanja secara sederhana dan berpada-pada. 

5. Rancang Perbelanjaan untuk Simpan Duit

Merancang perbelanjaan dengan teliti adalah antara cara simpan duit gaji yang amat membantu. Jika sebelum ini anda selalu berbelanja ikut kemahuan dan nafsu semata-mata, anda mungkin mendapati wang anda habis dengan begitu cepat berbanding biasa. Sebagai contoh, setiap kali anda mahu ke pasaraya untuk membeli barangan dapur, pastikan tulis dan senaraikan barang-barang yang perlu dibeli. Senarai ini akan memastikan anda untuk kekal berdisiplin semasa berbelanja. 

Dengan merancang perbelanjaan, anda boleh mengelakkan diri daripada berbelanja lebih. Strategi ini juga boleh diguna pakai untuk perbelanjaan yang lain juga dan tidak terhad pada perbelanjaan barangan dapur sahaja. Anda boleh menggunakan strategi ini untuk perbelanjaan lain seperti kos minyak kereta, servis motor, tol dan sebagainya. Apabila anda sudah mula rancang dan track perbelanjaan, anda akan perasan perbezaan yang ketara dan anda sebenarnya mampu untuk menyimpan duit pada setiap bulan. 

6. Perhatikan Perbelanjaan Kecil

Mungkin bagi sesetengah orang duit perbelanjaan kecil seperti duit untuk beli kopi ini tidak memberi kesan yang begitu besar. Anda mungkin beranggapan perbelanjaan RM15 untuk secawan Starbucks setiap pagi tidak memberi kesan yang signifikan. Namun sebenarnya, secara tidak sedar tabiat ini sebenarnya yang memakan duit anda dengan jumlah yang banyak. 

Nampak macam remeh tetapi percayalah apabila anda buat kira-kira, anda akan nampak betapa banyak duit yang anda habiskan untuk makanan atau minuman yang mahal. Oleh sebab itu, anda perlu ubah dan hadkan perbelanjaan yang tidak perlu. Anda akan terkejut dengan jumlah yang anda boleh jimat dengan mengurangkan perbelanjaan bersifat kemahuan. 

7. Kurangkan Makan di Luar dan Simpan Duit

Memang tidak salah makan di restoran untuk sekali-sekala. Namun begitu, jika boleh kurangkan makan di luar dan lebihkan memasak sendiri di rumah. Secara asasnya, kos makan di luar lebih besar daripada memasak sendiri di rumah. 

Kos untuk seorang makan adalah dalam lingkungan harga RM7 hingga RM10 untuk setiap hidangan. Bayangkan jika anda mempunyai isteri dan dua orang anak, kos ini boleh menjadi empat kali ganda lebih mahal. Cuba anda buat pengiraan sendiri. Oleh sebab itu, anda perlu pastikan anda kawal dan hadkan perbelanjaan makan di luar dan cuba masak makanan sendiri di rumah. Bandingkan dengan kos memasak sendiri di rumah, dengan kos bahan mentah RM100, anda mungkin boleh menyediakan hidangan lengkap untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari.

8. Cara Simpan Duit Gaji, Utamakan Keperluan

Utamakan keperluan berbanding kemahuan – ini kerana kemahuan boleh memudaratkan kedudukan kewangan anda dalam jangka masa yang panjang. Oleh sebab itu, penting untuk anda berbelanja mengikut keperluan dan bukan kehendak. Jika tidak dikawal dengan baik, anda mungkin akan berbelanja melebihi kemampuan anda. Namun begitu, bagaimana cara nak bezakan kemahuan dan keperluan?

Keperluan adalah perbelanjaan yang wajib ada agar dapat menjalankan kehidupan seharian dengan baik seperti duit sewa rumah, makanan dan sebagainya. Manakala kemahuan pula adalah perbelanjaan yang tidak penting tetapi boleh menjadikan kehidupkan anda lebih selesa seperti pergi ke spa, membeli beg dan baju baharu dan sebagainya. 

simpan duit gaji

4 Formula dan Tips Menabung Duit

Secara asasnya, banyak formula urus gaji dan tips menabung yang boleh anda amalkan. Meskipun begitu, cara ini bergantung sepenuhnya kepada setiap individu. Cara A mungkin tidak menjadi untuk individu B, dan cara C mungkin berjaya untuk individu D. Apa yang penting, pilih cara menyimpan yang sesuai mengikut keperluan anda.

1. Formula Urus Gaji 30 + 30 + 30 + 10

Formula ini merangkumi pembahagian duit gaji anda kepada empat bahagian iaitu 30 peratus, 30 peratus, 30 peratus dan 10 peratus. Sebagai contoh, sekiranya gaji bersih anda RM3,000, duit RM3,000 ini dibahagikan kepada RM900, RM900, RM900 dan RM300. Untuk 30 peratus pertama, ia diperuntukkan untuk kesenangan masa depan untuk tujuan simpanan pendidikan, perlindungan insurans/takaful dan juga pelaburan.

30 peratus yang kedua pula adalah untuk segala hutang-piutang dan simpanan perbelanjaan. Ini bermakna, jika anda ingin berhutang untuk membuat pembiayaan rumah atau kereta, pastikan jumlah hutang itu dihadkan kepada 30 peratus sahaja daripada gaji. 30 peratus yang ketiga merangkumi perbelanjaan lain-lain seperti makan dan minum, barangan dapur, keperluan peribadi, sewa, bil dan apa-apa sahaja perbelanjaan setiap bulan.

Sementara itu, 10 peratus lagi boleh gunakan untuk diberikan kepada ibu bapa, sedekah, hadiah ataupun menunaikan zakat sekiranya cukup nisab. Jika anda baru mula bekerja atau tidak mempunyai komitmen yang banyak, anda disarankan untuk mengguna pakai formula ini.

2. Formula Urus Gaji 20 + 50 + 30

Untuk formula dan tips simpan duit ini pula, 20 peratus pertama digunakan untuk tabung simpanan. Anda digalakkan untuk membuka akaun simpanan khas untuk menyimpan wang bagi kegunaan masa hadapan. Apabila gaji anda masuk, cepat-cepat asingkan 20 peratus daripada gaji terus ke akaun simpanan tersebut.

Jangan sentuh simpanan ini melainkan dalam situasi kecemasan dan anda akan dapat melihat hasil pulangan yang berganda-ganda sekiranya anda berdisiplin. Simpanan dalam akaun ASB merupakan alternatif pelaburan berisiko rendah yang boleh anda pertimbangkan. Simpan duit di ASB bukan sahaja dapat membantu anda capai matlamat kewangan seperti membeli rumah atau kereta, ia juga salah satu simpanan hari tua yang terbaik dan menguntungkan.

  • Gaji RM3000 x 0.2% = RM600 (masukkan terus dalam akaun simpanan).
  • RM600 sebulan x 12 bulan = RM7,200 setahun.

50 peratus pula diperuntukkan untuk bayaran hutang dan bil tetap seperti bil elektrik, air, internet, telefon, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, ia hanya melibatkan bayaran komitmen tetap bulanan seperti pinjaman peribadi, loan kereta/rumah, dan sebagainya tidak termasuk bil kad kredit yang digunakan untuk pembelanjaan makan dan minum di luar, hiburan, pakaian, dan lain-lain.

Selain itu, sekiranya anda hendak memohon pinjaman peribadi, pastikan bayaran bulanan hutang termasuk komitmen sedia ada tidak melebihi jumlah 50 peratus yang ditetapkan.

  • Gaji RM3,000 x 0.5% = RM1,500 (had maksimum untuk bayaran komitmen dan bil bulanan).

Akhirnya sekali, baki 30 peratus adalah untuk perbelanjaan sara hidup seperti barangan dapur, pengangkutan, hiburan dan sebagainya.

3. Formula Urus Gaji 90 + 10

Formula simpan duit gaji ini kebiasaannya digunakan oleh individu yang tidak mahu bahagikan duit gaji kepada banyak perkara. Contohnya, 90 peratus digunakan untuk semua perbelanjaan merangkumi perbelanjaan tetap atau perbelanjaan berubah-ubah termasuk belanja untuk keperluan dan kehendak.

Ini bermaksud, 90 peratus daripada gaji akan digunakan untuk membayar hutang, bil-bil, makan, minum, keperluan diri, hiburan, membeli barang idaman dan sebagainya. Baki 90 peratus dibahagikan kepada empat bahagian mewakili empat minggu – 30 peratus, 20 peratus, 20 peratus dan 20 peratus.

Untuk minggu pertama, gunakan 30 peratus duit untuk membayar komitmen tetap seperti hutang, sewaan dan bil. Manakala untuk minggu kedua dan seterusnya, gunakan bahagian 20 peratus selebihnya. Secara asasnya, cara ini tidak menjadi masalah asalkan anda berbelanja mengikut peruntukan yang telah ditetapkan. Baki 10 peratus pula digunakan khas untuk simpanan atau pelaburan.

tips menabung

Cara Menabung Walaupun dengan Gaji yang Rendah

Secara asasnya, gaji rendah bukan penghalang untuk menabung atau menyimpan. Berikut merupakan cara jimat duit dan cara-cara menabung dengan gaji yang rendah.

1. Kira Perbelanjaan dengan Tepat

Anda disarankan untuk merekod perbelanjaan berbanding pendapatan kerana ini boleh membantu anda untuk memantau status kewangan anda dengan lebih jelas. Malah, ia juga dapat membantu anda merancang dan merangka perbelanjaan untuk bulan seterusnya.

2. Beli Barang Secara Borong

Walaupun anda masih bujang, tidak bererti anda tidak boleh membeli barangan secara borong. Beli barangan secara borong kerana ia lebih menjimatkan. Sebagai contoh, barangan yang tidak cepat rosak dan selalu anda boleh gunakan seperti ubat gigi biasanya ditawarkan pada harga yang lebih rendah dan lebih jimat untuk paket bundle atau pek berkembar.

3. Bawa Bekal

Anda juga boleh membawa bekal ke tempat kerja. Secara asasnya, masak sendiri di rumah lebih menjimatkan berbanding makan di kedai. Selain dapat menjimatkan duit perbelanjaan, anda juga dapat mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

4. Disiplin dalam Berbelanja

Pastikan anda hanya membeli benda yang terdapat dalam senarai yang hendak dibeli. Elakkan pergi ke kedai terlalu kerap kerana anda akan cenderung membeli barangan yang tidak perlu seperti snek dan minuman ringan.


No comments:

Post a Comment