Monday, October 10, 2022

𝐒𝐨𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐋𝐚𝐳𝐢𝐦 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐤𝐚𝐟𝐮𝐥 𝐊𝐞𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐓𝐚𝐡𝐮

 



Kepentingan Memiliki Takaful Kesihatan Sendiri


Jika anda merupakan seorang pekerja sektor swasta, anda berkemungkinan besar sudah ada medical card. Anda mungkin tertanya-tanya “𝘗𝘦𝘳𝘭𝘶 𝘬𝘦 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘢𝘥𝘢 𝘪𝘯𝘴𝘶𝘳𝘢𝘯𝘴 𝘬𝘦𝘴𝘪𝘩𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘪𝘣𝘢𝘥𝘪 𝘬𝘢𝘭𝘢𝘶 𝘴𝘺𝘢𝘳𝘪𝘬𝘢𝘵 𝘴𝘶𝘥𝘢𝘩 𝘤𝘰𝘷𝘦𝘳?”.

Pelan perubatan yang disediakan oleh majikan anda dikenali sebagai perlindungan berkumpulan kerana ia meliputi sekumpulan pekerja di bawah satu majikan. Anda sebagai pekerja akan menikmati faedah-faedah seperti kad perubatan untuk rawatan atau perlindungan kemasukan ke hospital (hospitalisation).

Tidak syak lagi, manfaat insurans perubatan yang disediakan oleh syarikat anda merupakan satu faedah yang sangat berguna tetapi terdapat beberapa situasi yang akan membuatkan anda terfikir untuk dapatkan takaful kesihatan sendiri:

  • Perlindungan tidak mencukupi sekiranya kos perubatan atau rawatan menjadi terlalu tinggi.
  • Sekiranya anda dibuang kerja, pelan anda dengan syarikat akan dibatalkan.
  • Tidak melindungi anda selepas anda bersara dan ini mungkin akan menyebabkan anda terpaksa menggunakan wang persaraan untuk membayar kos-kos rawatan.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mendapatkan takaful kesihatan sendiri atau turut dikenali sebagai pelan perlindungan individu kerana ia akan melindungi anda dan keluarga anda daripada situasi-situasi yang tidak terjangka. Bagi membantu anda pilih insurans kesihatan peribadi terbaik, berikut antara persoalan-persoalan penting yang perlu anda pertimbangkan: 

1. Apa Maksud Takaful Kesihatan?

Tujuan utamanya adalah untuk melindungi anda dari segi kewangan. Takaful ini akan memberikan perlindungan sekiranya berlaku kematian, sakit kritikal atau hilang upaya kekal, menampung bil perubatan anda termasuk kos bilik hospital, konsultasi, pembedahan, rawatan dan ubat-ubatan jika anda sakit atau kemalangan.

Disebabkan kos perubatan merupakan satu kos yang sukar dijangka dan boleh menjadi sangat tinggi, anda mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menjelaskan bil hospital dengan menggunakan duit anda sendiri.

Memandangkan terdapat banyak pelan insurans di pasaran yang menawarkan perlindungan yang berbeza-beza, anda perlu membuat penyelidikan untuk mengetahui jenis perlindungan yang anda perlukan. Selepas itu, anda boleh membuat penilaian sendiri dan pilih pelan yang terbaik bagi anda dan keluarga.

2. Bagaimana Premium / Caruman Ditentukan?

Jenis Perlindungan

Pemilihan pelan takaful kesihatan  akan mempengaruhi kos premium. Semakin banyak perlindungan, semakin tinggi kos. Selain itu, mengambil perlindungan tambahan juga akan meningkatkan kos premium anda.

Umur

Usia anda juga memainkan peranan yang penting semasa menentukan harga premium. Kebiasaannya, individu yang lebih berusia akan dikenakan premium yang lebih tinggi kerana risiko mendapat penyakit lebih tinggi.

Sejarah Perubatan

Sekiranya anda mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik atau mempunyai penyakit sedia ada, premium insurans yang dikenakan adalah lebih tinggi.

Pekerjaan

Persekitaran tempat kerja anda juga memainkan peranan dalam menentukan kos premium anda. Jika pekerjaan anda terdedah kepada risiko kecederaan atau kemalangan, premium yang akan dikenakan mungkin lebih mahal.

Indeks Jisim Badan (BMI)

Individu yang mempunyai BMI tinggi lebih terdedah kepada risiko penyakit berbahaya dan disebabkan ini premium yang dikenakan juga lebih mahal.

Tabiat Merokok

Kebiasaannya, perokok akan dikenakan premium lebih tinggi kerana tabiat merokok membahayakan kesihatan dan kebanyakan individu yang merokok terdedah kepada risiko penyakit berbahaya.

Tempoh Polisi/Sijil

Tempoh polisi memainkan peranan yang penting dalam menentukan nilai premium. Jika anda memilih polisi dengan tempoh yang lebih panjang, premium atau sumbangan anda menjadi lebih mahal.



3. Apakah Perkara yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Beli Takaful Kesihatan?

  • Pelan perlindungan
  • Jenis tuntutan  yang dibenarkan
  • Proses tuntutan
  • Tempoh menunggu medical card
  • Jumlah had tahunan atau had seumur hidup
  • Perlindungan penyakit sedia ada
  • Senarai klinik atau hospital panel

4. Bagaimana Cara Claim ?

Prosedur tuntutan mungkin berbeza-beza untuk setiap syarikat takaful, jenis tuntutan dan ciri polisi. Anda boleh rujuk kepada syarikat atau ejen  untuk semak semula polisi anda.

5. Apakah Antara Sebab Tuntutan Anda Boleh Ditolak?

Tahukah anda, tuntutan insurans kesihatan anda juga boleh ditolak? Untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku kepada anda, anda perlu elakkan situasi-situasi berikut:

Tuntutan Dalam Tempoh Menunggu

Takaful perubatan tidak akan melindungi sebarang kos perubatan yang dikenakan atas nama anda dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengaktifan polisi insurans kecuali untuk kecederaan akibat kemalangan.

Tidak Bayar Premium 

Anda pasti akan menghadapi risiko polisi tidak aktif lagi anda jika anda gagal membayar premium anda melepasi tarikh tamat tempoh.

Melebihi Had Tuntutan

Terdapat dua had yang perlu anda tahu iaitu had tahunan dan had seumur hidup. Jika bil hospital terkini anda adalah RM80,000, tetapi had tahunan anda hanya pada RM50,000, anda  perlu membayar baki jumlah tersebut. Elakkan mengambil polisi dengan had tahunan yang rendah.

6. Bagaimana Jika Anda Tidak Membuat Sebarang Tuntutan ?

Anda perlu merujuk kepada syarikat atau ejen anda untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang insentif ditawarkan sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan pampasan. 

Kebanyakan pelan insurans menawarkan kelebihan yang anda boleh tuntut sama ada dari segi tambahan had tahunan ataupun kelebihan lain.

7. Berapa Kali Anda Boleh Buat Tuntutan dalam Masa Setahun?

Kebanyakan syarikat tidak menetapkan jumlah tuntutan maksimum bagi polisi kesihatan. Syarat utamanya adalah asalkan anda tidak melepasi had tahunan yang ditetapkan. Dengan kata lain, ia bergantung kepada pelan perlindungan yang anda ambil.

Namun begitu, katakanlah anda sudah menggunakan sepenuhnya had tahunan atau had seumur hidup, polisi kesihatan anda tidak lagi akan menanggung kos rawatan atau perubatan anda. Ini bermaksud, anda perlu keluarkan duit dari poket sendiri untuk menanggung apa-apa kos rawatan atau perubatan.

8. Apakah yang Anda Boleh Jangkakan dengan Pelan Kesihatan?

Secara asasnya, ia bergantung kepada jenis polisi yang anda beli. Anda boleh tahu manfaat, perkara yang dilindungi atau tidak dilindungi dan sebagainya. Kebiasaannya, anda akan dapati polisi kemasukan ke hospital dan pembedahan memberikan perlindungan-perlindungan berikut:

  • Penginapan hospital dan kos rawatan
  • Belanja pembedahan (fi pakar bedah dan kos berkaitan pembedahan)
  • Kos doktor perubatan

9. Apa yang Takaful Kesihatan Tidak Cover?

Syarikat takaful tidak melindungi semua perkara.Oleh sebab itu, anda perlu tahu perkara-perkara yang tidak cover supaya anda lebih berhati-hati. Berikut adalah antara perkara yang tidak dilindungi:

  • Kos bersalin
  • Penyakit kongenital (penyakit yang wujud sejak lahir)
  • Pembedahan kosmetik atau pembedahan plastik
  • Rawatan pergigian termasuk pembedahan mulut (melainkan disebabkan oleh kemalangan)

10. Bila Anda Perlu Ada Takaful Kesihatan?

Kalau boleh, ambil polisi kesihatan seawal mungkin. Hal ini kerana, faktor umur boleh memainkan peranan yang penting dalam menentukan pelan perlindungan anda. Contohnya, individu yang mula mengambil polisi pada usia muda dan semasa berada dalam keadaan yang sihat, anda boleh mendapatkan pelan yang lebih komprehensif yang memenuhi keperluan anda pada harga yang sangat berpatutan.






No comments:

Post a Comment